Blog Ustaz Muhammad Yusry Affandy b. Yusuff al-Hafiz

Jan 5, 2010

TUGAS PENDIDIK MENURUT ISLAM


 
Pendidikan merupakan salah satu elemen terpenting dalam agenda kemajuan dalam setiap negara di dunia ini. Pendidikan mempunyai pengaruh yang sangat berkesan dalam menentukan hala tuju serta jatuh bangun sesebuah bangsa. Ahli falsafah Yunani yang terkenal, plato mengatakan pendidikan bererti memberi sesuatu keindahan dan kesempurnaan yang bersesuaian dengan jasmani dan rohani .

Dr. Yusuf al-Qardawi pula mendefinisikan pendidikan sebagai pendedahan maklumat tentang aspek keseluruhan hidup bagi melengkapkan keperluan akal, hati, rohani, jasmani dan akhlak.

Manakala seorang ahli falsafah Amerika, John Dewey menyatakan bahawa pendidikan adalah “the process of forming fundamental dispositions, intellectual and emotional forwards nature and fellow men.”

Profesion sebagai pendidik merupakan bidang yang amat istimewa. Alhamdulillah, kita semua telah ditakdirkan untuk menyumbang bakti secara langsung dan tidak langsung dalam arena pendidikan ini yang mempunyai perkaitan yang sangat rapat dalam perkembangan bangsa, negara dan umat sejagat.


Mengikut istilah yang digunakan oleh sarjana-sarjana Islam, pendidik bererti murabbi, muallim, muaddib, ustaz, mudarris, mursyid atau ulama. Semua istilah-istilah yang digunakan ini berasal dari bahasa Arab dan pada dasarnya istilah-istilah tersebut mempunyai maksud yang sama iaitu memberi pengajaran atau pendidikan. Namun terdapat beberapa pandangan yang berbeza mengenai penggunaan istilah tersebut. Ini bergantung kepada bidang ilmu yang dipelajari dan disampaikan. Istilah-istilah berkenaan ditujukan kepada individu yang mempunyai ilmu duniawi atau ukhrawi dan kepada individu yang benar-benar berperanan sebagai penyampai ilmu berkesan kepada masyarakat.

Istilah muallim bermaksud pengajar yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya, dan kadang kala digunakan dalam erti kata pemimpin. Istilah murabbi membawa maksud yang lebih luas, melebihi tahap muallim. Konsep murabbi merujuk kepada pendidik yang mengajarkan sesuatu ilmu dan mendidik rohani, jasmani dan mental para pelajar untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Istilah mursyid bermaksud seseorang yang tekun memberi tunjuk ajar dan bertanggungjawab memimpin para pelajar sepanjang masa. Istilah-istilah ini pada asasnya ditujukan kepada para ilmuan Islam dan boleh kita gunakan ke arah mempelbagaikan fungsi pendidik cemerlang. Islam sangat menggalakkan budaya penyebaran ilmu ini. Rasulullah s.a.w sendiri diutuskan sebagai pendidik dan tugas Rasulullah secara khusus ini terus dipusakai oleh golongan ulama, iaitu ilmuan Islam yang beramal dengan ilmu dan memimpin ummah daripada kegelapan menuju ke arah cahaya kebenaran.

Nabi Muhammad s.a.w selalu menganjurkan para sahabatnya untuk menyampaikan apa yang pernah mereka dengar, supaya dimanfaatkan oleh generasi-generasi berikutnya di mana sahaja. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “sampaikanlah olehmu yang datang dariku meskipun hanya satu ayat”. Rasulullah s.a.w turut bersabda:“sesiapa yang mengasaskan jalan yang baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatat baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya, dengan tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya. Dan sesiapa yang mengasaskan jalan tidak baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatatkan baginya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya dengan tidak dikurangkan sedikit pun dosanya”. Hadis ini menjelaskan mengenai tanggungjawab dan kedudukan pendidik dalam konteks keagamaan. Mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t terhadap ilmu yang disampaikan dan kesan daripada penyampaian itu terhadap orang lain pada Hari Kiamat. Jika kesedaran keagamaan seumpama ini wujud dalam setiap diri pendidik, maka sudah tentu pendidik itu akan berhati-hati dalam merancang pengajaran dan pembelajaran.

Atas dasar inilah antara faktor keperkasaan tamadun Islam pada zaman lampau ialah berttiktolak daripada peranan pendidik cemerlang. Misalannya, menurut Ghazali Darussalam, Kerajaan Islam Abasiyyah meletakkan tiga lapisan pendidik, iaitu :

i) mualim - golongan guru madrasah yang diberi tugas mendidik ilmu-ilmu islam seperti al-quran, ibadah, akidah, syariah dan ilmu akhlak.

ii) mu’adib - guru khas yang bertanggungjawab mengajar sekolah khas termasuk istana khalifah.

iii)ustadz - pensyarah di sekolah tinggi.

Pendidik dalam sejarah ketamadunan Islam dipandang sebagai insan yang amat dihormati. Para pemerintah telah meletakkan pendidik pada tahap kedudukan yang tinggi. Pernah berlaku dalam sejarah tamdun Islam, seorang khalifah iaitu pemerintah negara sanggup bertandang ke rumah ulama untuk menuntut ilmu bersama-sama orang ramai.


Al-Quran al-Karim ada merakamkan keistimewaan dan pujian terhadap golongan pendidik. Antaranya, Allah berfirman dalam surah az-zumar ayat 9:
“Katakanlah :adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahu?". Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".

Dalam surah al-Syua’ra ayat ke 26 pula Allah menegaskan :
“...sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama( golongan berilmu kerana mengetahui hakikat kebenaran)). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun” .
Menerusi hadis-hadis, Rasulullah s.a.w banyak menyebut kelebihan golongan pendidik yang akan meraih keuntungan di dunia dan akhirat, Antaranya, Rasulullah menyebut ;
” barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka ia beroleh pahala yang sama dengan pelaksana yang melakukan kebaikan yang diajarkan itu.”

”akan ditetapkan ganjaran bagi para penyampai ilmu bagi setiap langkah dan setiap huruf ilmu mereka yang telah disampaikan adalah menyamai ibadah selama setahun dan bagi mereka kota-kota khas di dalam syurga.”

”sesiapa yang keluar dari rumah untuk menyebarkan ilmu maka mereka telah tergolong dalam kelompok yang berjuang fisabilillah.”

Tugas seorang pendidik bukanlah satu tugas yang mudah dan bukan dapat dilaksanakan semua orang. Justeru, kerjaya tuan-tuan dan puan-puan selaku pensyarah dianggap sebagai satu tugas yang sangat mulia dan istimewa. Lebih-lebih lagi dalam era yang penuh mencabar ini, menuntut pengorbanan dan komitmen yang tinggi daripada para pensyarah sekalian bagi menjayakan arena pendidikan.

Profesion sebagai pendidik jelas amat disanjungi oleh Islam. Islam tetap menghormati para pendidik walaupun pendidik itu bukan daripada kalangan umat islam asalkan penyampai ilmu itu tidak mengajar nilai keburukan. Janganlah sesekali tuan-tuan dan puan-puan sekalian merasa tersilap langkah memilih profesion sebagai pendidik ini. Ketahuilah inilah sebaik-baik pekerjaan di atas dunia. Hal ini kerana tugas sebagai pendidik adalah untuk mencurahkan ilmu pengetahuan, membentuk anak didik agar mengenal penciptanya dan pendidik dinisbahkan sebagai ibu bapa yang kedua kerana membimbing ke arah kebenaran dan membuktikan kejelikan kebatilan.

Terbukti sememangnya masyarakat sangat menghormati para pendidik. Amanah ini mesti ditunaikan secara realiti supaya penghormatan masyarakat selama ini tidak menjadi fantasi atau retorik. Para pensyarah di Institusi pengajian tinggi wajib memberi ilmu dan bekerja dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kejayaan akademik, sahsiah dan pembangunan jati diri para pelajar berada pada pencapaian maksimum. Jadikanlah mereka umpama anak-anak kita sendiri dalam erti kata lain, kita tidak sanggup melihat mereka dihimpit dengan kegagalan dan dibelenggu dengan rantaian jahiliah masa kini. Apabila tugas ini dilaksanakan secemerlang mungkin, insyaallah pada suatu ketika pula orang lain pula akan membalas kebaikan yang telah kita dilakukan. Inilah janji Allah Taala, segala perbuatan baik yang dikerjakan akan menguntungkan pelaku perbuatan itu sendiri. Firman Allah di dalam surah al-Israk ayat 7 yang bermaksud :
" jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untuk dirimu dan jika kamu berbuat kejahatan maka natijahnya juga kembali kepada dirimu.”

Bagi menyempurnakan tugas pendidik mengikut perspektif Islam, Dr Abdul Halim al muhammady menyenaraikan tujuh sifat yang wajib dimiliki oleh pendidik, iaitu:

mendidik kerana mencari keredaan tuhan.
Keikhlasan dan dedikasi dalam bekerja.
Mempunyai sifat halim, iaitu sifat lemah lembut, sopan santun dan lekas marah.
Menjaga kehebatan dan kehormatan diri.
Perlu merasa dirinya sebagai waris dalam menghadapi muridnya.
Hendaklah memahami tabiat para penuntut.
Mempunyai ilmu pengetahuan yang luas.

Menurut pandangan Imam ghazali pula, beliau turut menyenaraikan tujuh ciri pendidik yang efektif iaitu :

1) mempunyai rasa belas kasihan kepada para pelajar seperti yang diajar Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: “sesungguhnya aku ini bagimu adalah seumpama seorang ayah bagi anaknya”.
2) mengikut akhlak nabi muhammad s.a.w sebagai pendidik.
3) tidak membenarkan para pelajar melampaui batas.
.4) selalu menasihati para penuntut supaya meninggalkan kelakuan buruk.
5) tidak sesekali merendahkan maruah para pelajar yang kurang berkemampuan.
6) hendaklah pembelajaran bersesuaian dengan tahap pemahaman para pelajar.
7) menyediakan ilmu yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal para pelajar.

Ciri-ciri di atas jelas menunjuk bahawa pendidik yang efektif itu perlulah mempunyai disiplin yang tinggi dalam pendidikan sama ada dari segi sahsiahnya, ilmu pengetahuannya dan pedagogi pendidikannya. Ini diperkuatkan dengan rumusan daripada tokoh ulama, Abdullah Nasih Ulwan yang berpendapat bahawa manifestasi tugas pendidik ialah melaksanakan pendidikan secara memberi ilmu takala senang dan susah dan mendidik akhlak pelajar supaya mereka menjadi manusia terpelajar dan bukan manusia yang kurang ajar.


Kita semua di sini memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan survival pendidikan. Dalam menongkah arus perjalanan yang murni ini sudah tentu kita akan dibayangi dengan pelbagai onak duri yang mencabar kekuatan diri. Antara cabaran yang timbul ketika kudrat dikerah, minda diperah dan langkah dipersembah ialah fitnah, hasad dengki, umpatan dan pelbagai virus mazmumah yang bergerak secara gunting dalam lipatan. Pencetus-pencetus virus mazmumah ini kelihatan menderita dan bertindak penuh dengan kebencian terhadap individu yang kelihatan lebih maju daripadanya. Pelbagai tohmahan sangup dilemparkan kerana ingin meleyapkan individu yang lebih kehadapan dan maju itu. Sepatutnya ’golongan virus’ tersebut wajar berfikiran rasional untuk mengubah sikap diri daripada melakukan perkara yang terlaknat yang akan memakan diri sendiri akhirnya. Islam sangat melarang manusia daripada bersifat anti progresif dan mengadakan kejahatan mazmumah ini. Antaranya Allah swt menyebut di dalam al-quran di dalam ayat 12 surah al-hujurat :
Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu . Sukakah kamu memakan daging saudaranya sendiri yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik terhadap perbuatan itu. Bertakwalah kepada allah, sesungguhnya allah maha perima taubat lagi maha penyayang.”

Rasulullah s.a.w. Pernah menasihati sahabat baginda bernama muaz bin jabal. Nasihat ini sebenarnya untuk menyedarkan seluruh manusia mengenai tanggungjawab soasial di dalam pergaulan sesama insan. Rasulullah bersabda:
"wahai muaz, jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin. · banyakkan membaca al-quran. · tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain. · jangan engkau menyucikan dirimu dengan mencela orang lain. · jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka. · jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat. · jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada perangaimu yang tidak baik. · jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain. · jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain. · jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu.


Sayogianya kita mampu berubah ke arah lebih positif. Bukannya menjadi seorang manusia yang bencikan perubahan dan mementom kemajuan. Kesemua nilai itu adalah untuk kebaikan bersama. Apabila nilai positif dapat diambil dan dijadikan tranformasi dalam kehidupan ini maka kita semua akan berjaya menjadi pendidik yang benar-benar beretika dalam arus pemodenan pendidikan.

Mudah-mudahan segala inisiatif murni yang digerakkan bersama dalam perjuangan memajukan pendidikan kepada para penuntut polimas ini akan sentiasa konsisten sehingga tiba ke gerbang kegemilangan yang kita dambakan. Untuk merealisasikan perkara ini, pelbagai perkara perlu dikorbankan kerana sesungguhnya harga bagi sesebuah kejayaan adalah sangat mahal.








Antara Doa Rasulullah Sallahu’alaihi Wasallam Yang Mahsyur

اللهم اني أسئلك موجبات رحمتك * وعزائم مغفرتك *
والسلامة من كل اثم * والغنيمة من كل بر * والفوز بالجنة *
والنجاة من النار *

Maksudnya ;`` Ya Allah Ya Tuhanku ! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ( hidayah untuk mengerjakan ) perkara-perkara kebaikan yang akan menyebabkan aku memperoleh rahmat-Mu, dan ( hidayah untuk mengerjakan ) perkara-perkara wajib yang menyebabkan aku memperoleh keampunan-Mu, selamat sentosa dari setiap perkara dosa, beruntung dengan setiap perkara kebaikan, berjaya memasuki syurga dan terselamat dari neraka.”




Maksudnya : ``Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat
dan peliharalah kami dari siksa neraka.”

Mengenali & Mendalami Al-Quran

Satu tuntutan kepada umat Islam. Umat Islam wajib berpegang dengan al-Quran.


~~Kandungan Al-Quran

mempunyai klasifikasi ayat Makki dan Madani.
mengandungi sebanyak 6236 ayat mengikut pandangan majoriti ulama’ dan pandangan lain mengetengahkan sebanyak 6666 ayat.
pelbagai klafikasi ayat.
Ayat-ayat berbaris dan surah tersusun secara sistematik.
Kisah-kisah umat terdahulu dan perkhabaran masa akan datang.
Hukum hakam yang meliputi seluruh bidang kehidupan.
Laras bahasa Arab yang tiada tandingan.
Pelbagai ilmu keduniaan, seperti sains, matematik, geografi dan sebagainya.

~~Surah-surah lazim

juz A’mma * surah-surah amalan
ayat Kursi dan Amarrasul * potongan ayat


~~Antara bukti ilmiah yang terkandung di dalam al-Quran:

1) penciptaan manusia.
2) alam angkasa raya.
3) sifat air susu
4) perundangan Islam
5) sel kulit dan sebagainya yang ditemui oleh para pengkaji al- Quran.

~~Kaedah mendalami al-Quran


1) membaca dengan berjadual
2) membaca beserta terjemahan
3) mempelajari tajwid
4) mempelajari taranum
5) mempelajari ilmu qiraat
6) mendengar bacaan al-Quran
7) mengikuti kuliah tafsir
8) meneliti pandangan mufassirin
9) menghormati al-Quran
10) melazimkan diri dengan mashaf al-Quran
11) menghafaz al-Quran atau surah-surah tertentu

Disediakan secara ringkas oleh :

Hj Muhd Yusry Affandy Hj Yusuff al-Hafiz
Pensyarah Pengajian Am. POLIMAS